Khamis, 1 Januari 2015

Rasa Hati


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Teks                   : Raihan Ahmad
Gambar            : Koleksi google
Catatan Entri   : 7





Alhamdulillah. Bersyukur di atas anugerah Allah SWT di setiap nafas-nafas buat diri ini. Pertukaran angka 4 digit pun berlaku, dari tahun 2014 ke tahun 2015. Walaupun telah bertukar digit yang terakhir, namun untuk menghilangkan segala kisah-kisah semalam adalah terlalu sukar buat diri ini.

Menoleh sebentar ke belakang di akhir tahun 2012 iaitu pada 31 Disember 2012, di mana saya kehilangan anak kedua akibat keguguran di minggu ke 12 kehamilan. Namun saya gagahi diri memasuki tahun 2013 dengan tabah. Sebuah kehilangan yang masih saya tangisi namun , saya senantiasa cuba mendidik diri untuk redha dengan ujian yang Allah SWT berikan buat saya.

Pada bulan Oktober 2013, 10 bulan selepas itu saya sekali lagi diuji dengan sebuah pengkhianatan seorang sahabat yang paling akrab dengan saya membuatkan saya rasa jatuh ke curam paling dalam. Menangisi diri hingga membuatkan diri ini mengalami kemurungan . Saya terpaksa menangguhkan pengajian di Universiti akibat tidak boleh fokus dengan pengajian. Sedih memang sedih. Waktu itu, saya merasakan hati saya sangat hancur. Tiada apa yang tersisa.

Hanya pada Allah SWT tempat saya mengadu, dalam setiap sujud pasti ada air mata yang mengalir. Puas saya menangis hingga tiada air mata lagi untuk saya luahkan betapa saya sangat terluka dengan sebuah pengkhianatan yang saya sendiri tidak jangkakan. Manusia bagitulah. Terkadang manusia terlupa bahawa hidup ini hanyalah sementara. Manusia lupa bahawa ada Allah SWT yang Maha Melihat. Sahabat saya mungkin terlupa, dia boleh berbuat sesuatu yang melukai di belakang saya namun adakah Allah SWT tidak melihat apa yang kamu buat terhadap saya.

Melewati 2012 hingga berakhirnya 2014, 2 tahun yang sangat-sangat menguji diri ini. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui , bagaimana saya cuba untuk bangkit setelah terjatuh berulang kali. Allahuakbar, saya tidak dapat nak gambarkan bagaimana diri saya pada 2 tahun ini. Mungkin orang melihat saya tersenyum indah, namun apa yang tersemat dijiwa saya tiada siapa yang tahu melainkan pencipta saya. Apabila mengingati semua itu membuatkan saya rasa ingin pergi jauh semampu mungkin. Luka di tangan ternampak darahnya ... hancur hati , tiada siapa pun yang tahu.

Memasuki tahun 2015, saya jadikan kisah semalam sebagai sumber kekuatan untuk saya melangkah lebih berani dan yakin. Dengan segala ujian-ujian ini, ada hikmat yang tersembunyi. Bagi saya, biarlah manusia nak sakiti saya, biarlah. Saya yakin janji Allah SWT itu pasti. Setiap perbuatan baik balasannya baik dan sebaliknya.

Saya tanamkan di minda akal saya, yang penting SAYA ADA ALLAH SWT. Saya pegang itu sekuat - kuatnya . Selagi ada nafas saya, saya berjuang untuk hidup dengan bahagia dan penuh dengan keindahan.

Terima kasih kerana sudi baca catatan saya, inilah saya. Selamat tahun baru 2015. Fikir yang indah-indah untuk dapat yang indah-indah sahaja.



 Salam kasih sayang dari saya untuk pembaca semua.

Perniagaan membuatkan aku benar benar tawakal kepada ALLAH SWT sebab REZEKI rahsia ALLAH SWT.

Jom Berniaga ... Berniaga Sunnah Rasulullah SAW.